Saturday, 16 March 2019

Reviu After Dark tulisan Murakami

Naabil belikan buku ni untuk aku, selepas aku belikan kasut futsal untuk dia. Haha. Aku nak sangat baca After Dark pula sebab Azrin cadangkan tahun lepas. Fuh, lama sangat baru sekarang aku habiskan bacaan.

Perasaan aku masa awal-awal baca novel ni, biasa saja. Aku rasa yang menarik pun daripada gaya penceritaan Murakami yang rinci terhadap persekitaran cerita. Buatkan aku terasa dekat dengan watak-watak dalam novel. Tapi, bila dah masuk ke suku dan pertengahan cerita, aku sedar yang Murakami letakkan elemen sureal dalam cerita ni. Itu, menarik. Aku sedikit keliru sampailah ke penghujung cerita.

Aku tutup After Dark setelah tamat. Aku diam sekejap dan mula garu kepala. Aku cakap pada Naabil, “susah ni nak move on.” Sebab aku rasa sangat berselerak. Watak-wataknya taklah ramai mana, tapi cerita-cerita untuk setiap watak seolah-olah tak tercantum. Tapi, mana ada penulis yang tulis cerita bersepah tanpa sebab. Lagi-lagi, ni Murakami kot?

Mari, watak utama dalam novel ni. Disebabkan dia rasa tak selesa dan tak boleh tidur serumah dengan kakak dia yang dah tidur hampir dua bulan dalam bilik, dia keluar satu malam ni. Aku beritahu dah ke yang cerita dalam novel setebal 244 muka surat ni hanya berlaku satu malam? Ya. Satu malam.

Mari melepak di Denny’s dan bertemu Takahashi yang merupakan kawan pada kakaknya, Eri Asai. Perbualan mereka sering berkisar Eri. Mari tak selesa sebab dia sendiri tak selesa dengan kakaknya. Menurut Mari, mereka terlalu berbeza dan kerana perbezaan itulah mereka semakin menjauh walaupun tinggal sebumbung.

Takahashi ni pemain Trombon untuk satu band ni. Dia berlatih dekat dengan tempat Mari habiskan malamnya. Mari kemudian terlibat untuk selesaikan masalah pelacur Cina yang dipukul teruk oleh seorang pelanggan di Love Hotel berdekatan, kerana Mari boleh berbahasa Cina. Di situ dia berkenalan pula dengan Kaoru, Korogi dan Kamogi. Mereka berkerja di situ.

Pada bahagian lain, Murakami menceritakan situasi Eri yang sedang nyenyak tidur (deep sleep). Penceritaan ruang begitu teliti dan Murakami seolah-olah membawa aku terlibat sama dalam cerita satu malam ini. Ada bahagian lain, Murakami menceritakan keadaan Shirakawa selepas dia memukul teruk pelacur Cina itu.

Aku yakin, Murakami mahu aku sebagai pembaca merasakan betapa setiap watak dalam novel ini tidak ada yang tenang. Setiap mereka dengan masalah masing-masing. Mereka juga lari daripada sesuatu yang berbeza-beza. Satu malam menuju ke langit yang cerah terasa begitu lambat dan perlahan.

Betul-betul setelah muka surat 174, aku merasakan aku semakin faham kenapa Azrin cadangkan novel ini sebagai yang pertama untuk aku baca. Elemen sureal yang begitu menarik dan meninggalkan rasa seram juga. Sedikit. Apabila bayang-bayang watak di cermin tertinggal di cermin sebentar walaupun wataknya sudah berlalu daripada memandang cermin. Adanya watak lelaki tanpa wajah di bilik Eri Asai juga merupakan sesuatu yang misteri dan aku sampai sekarang tak faham kenapa diwujudkan.

Tapi. Aku ada satu pengakhiran yang boleh buat aku move on daripada After Dark.
Bagaimana kalau cerita yang berselerak ni cuma mimpi-mimpi Eri Asai yang tidur nyenyak selama hampir dua bulan?

No comments:

Post a Comment