Friday 23 December 2022

Orked Setahun

Orked binti Naabil, kini kau setahun dan selamat menempuh banyak tahun lagi di hadapan.

Terlalu banyak yang mama mahu coretkan di sini untuk kau baca bila saatnya tiba. Pertamanya, tentulah terima kasih padamu nak kerana sudah banyak memberikan mamababa kebahagiaan, kekuatan, pelajaran dan banyak hal lain dalam setahun pertamamu ini.

Cepat benar masa berlalu sedangkan masih segar ingatan mama saat melahirkan kau nak. Rasa keliru saat pertama melihatmu di NICU apabila melihat nama mama pada tanda dikakimu juga masih dapat mama ingat. "Ini anak mama ke?" Takjub mama pada Tuhan Penguasa setelah melahirkanmu tidak akan mama lupa sampai bila-bila.

Setahun berlalu begitu pantas. Orked yang smol dah jadi big girl mamababa. Kau tahu apa yang kau mahukan sekarang, tak mahu lagi dipaksa-paksa untuk sesuatu yang kau tak mahu. 

Setahun Pertama Orked

Mama bersyukur pada Tuhan untuk setahun pertamamu. Kita direzekikan dengan tempat kerja mama yang fleksibel dan tidak menekan. Ini banyak memudahkan hidup kita sekeluarga, membesarkanmu dengan tenang, melancarkan penghasilan susu badan untuk kau tumbuh sihat sehingga sekarang. 

Setahun pertama ini sakitmu masih mudah diurus. Tidak banyak hal serius dan mama akan selalu pastikan Orked tetap sihatkuat pada tahun-tahun di hadapan. Moga Allah Tuhan Maha Kuasa memudahkan.

Pertumbuhan fizikal dan mindamu juga sesuai dengan umur. Syukurlah kau sihat sahaja.

Syukur juga mama panjatkan pada Tuhan Maha Baik atas rezeki yang selalu cukup dalam setahun pertamamu ini. Kelahiranmu juga nak, buat mamababa direzekikan dengan banyak hal baik yang tak akan pernah dilupakan dalam 2022. 

Ingat ini nak. Sejak tiga bulan, kau dijaga mommy Fyz. Mamababa bersyukur kau serasi dengannya, disayang mommy, uncle juga abang Irfan & abang Aryan. Zaman ini sudah banyak hal aneh. Banyak manusia mati rasa. Tapi Allah itu Maha Pemurah. Rezekikan kita dengan penjaga yang handal mengurus, menjaga dan mengasihimu nak. Mama tak ada keluhan untuk mommy dan keluarga. Semoga mereka dirahmati Tuhan. Selalulah kau kenang dan doakan mereka. 

Juga di setahun pertamamu ini, kau masih lagi satu-satunya cucu kesayangan di kedua-dua keluarga mamababa. Haha. Tapi mama perasan, kau cemerlang menghibur hati sendiri. Tak ada gusar di hati mama untuk 'cipta' teman buat kau nak. Kita sabar sajalah menanti sepupu-sepupumu ya? Lol.

Orked, mama pasti setahun di hadapan perjalanan kita akan lebih mencabar. Mama akan terlalu sedikit masa denganmu untuk mengejar cita. Mama tak berani menjanjikan apa-apa tapi yang pasti sayang mama pada Orked tak akan pernah kurang sedikitpun. Kita akan lalui semuanya bersama. Baba akan selalu ada dengan Orked, menghibur, mendodoi dan memanjakanmu. Terima kasih baba. Orked dan mama mengharapkanmu.

Anakku Orked,

kau lahir tanpa esak tangis. Matamu terbuka dan jemarimu bergerak tanpa laungan suara. Mama ingat itu. Sampai mati akan ingat itu. Mama doakan dalam kehidupan ini, seluruh hidupmu lebih banyak bahagia daripada bersedih, lebih banyak meneroka dan mempertajam minda daripada hanya duduk menunggu hingga apa yang ada tumpul belaka. Moga kau tahu diri. 

Penyejuk hati mamababa, teruslah menghibur hati-hati mereka disekelilingmu dengan kepintaranmu, dengan senyum manismu, dengan suara merdumu, dan yang pasti dengan kebaikan dan hati nuranimu nak.

Allah, jaga anakku.

SG

Thursday 4 August 2022

Liku-liku Menyusu Badan untuk Orked Sayang

 Over je tajuk tu. Haha.

Rasa nak catatkan sedikit perjalanan beri Orked susu badan total (Syukur pada Tuhan) sejak Orked tiga bulan hingga menginjak lapan bulan sekarang.

Sebenarnya tak sangka. Menjadi mama akan banyak momen-momen terasa seperti seorang gagalis. Contohnya, anak terjatuh katil, batuk, selesema, terhantuk dsbg. Ini semua menyumbang pada rasa anxious, menyalahkan diri sendiri, marah diri sendiri dll.

Ini tak sihat. Langsung.

Tapi, menjadi mama juga buat aku lebih mudah cepat-cepat bungkus semua rasa tak best itu dan campak jauh-jauh. Jauh daripada diri sendiri, Orked dan Naabil. Luar biasa bila jadi seorang mama ni. Dulu paling selfish. Sekarang rasa selfless habis. Semuanya demi anak.

Sebelum kelahiran Orked, tak pernah tinggi berharap ataupun sangat-sangat mahu berinya susu badan. Aku baca ramai ibu yang stres bila susu tak cukup, anak kelaparan, ada yang sehingga mati sebab stres tentang susu badan ni.

Jadi aku pilih tenang-tenang. Sepanjang mengandung stress-free habis! Sebab tak nak anak stres dan rosakkan mentalnya juga mental aku.

Nurse tersayang yang jaga kandungan dari 12 minggu hingga Orked seusia ini selalu pesan, "nanti kalau baby dah lahir, kena bagi susu ibu...bla..bla..bla.."

Aku dengar dan aku tahu aku akan cuba. Cuma aku takkan memaksa dan aku takkan stres. 

Orked lahir, dia masuk NICU sebab mamanya lambat push keluarkannya. Doktor bimbang lemas atau ada jangkitan di otaknya. Ya, dia di sana.

Hari ketiga ketika kami dibenarkan pulang adalah kali pertama aku berinya susu badan.

Masa tu Orked di bawah mesin fototerapi bagi mengurangkan jaundis. Matanya bertutup kapas. Comel ya Tuhan. Mama angkat, bawa ke dada dan Orked cemerlang sekali!

Ada nurse hospital yang membantu, ajar cara pegang yang betul & selamat. Kena leter itu ini. Dengar sajalah sebab hati berbunga dapat peluk anak pertama kali. Huaaa tiba-tiba teringat perasaan masa tu. Pertama kali peluk Orked di dada. Yang tak dapat aku rasa masa hari pertama Orked di dunia.

Setelah pulang, memang cuba untuk pam. Awal-awal memang tak banyak pun. Jadi kami selang dengan susu formula. Tak ada tekanan pun. Kalau Orked terlihat lapar lagi lepas menyusu badan, kami tambah formula. Orked masih jaundis jadi perlu galakkan kerap buang air besar. Stress-free~

Orked minum Enfalac A+ atas cadangan daripada mak cik dan syukur sesuai dengannya.

Aku tak pernah alami bengkak susu sampai demam atau sakit teruk. Pernah berkali-kali bengkak tapi tak sampai sakit teruk. Syukur.

Bermula Orked perlu dihantar ke pengasuh (3 bulan usianya), aku mula pam ebm (expressed breast milk) hari-hari. Letakkan dalam milk bag storage & dalam seminggu saja aku sediakan formula. Kemudian hanya ebm saja kepada pengasuh.

Aku guna Stellar breastpump daripada bearmom.  Beli single punya. Sebelah pam, sebelah lagi tadah pakai milk collector. Then tukar. Mudah sangat!

Aku dan Naabil sememangnya untung besar ditemukan dengan pengasuh sekarang. Pertama sehingga kini. Terima kasih acik kerana kenalkan. Hee.

Pengasuh juga sebenarnya main peranan dalam penyusuan badan. Jangan tak tahu! Ada pengasuh yang memilih untuk beri formula sahaja sebab sebenarnya agak renyah untuk sediakan susu ibu. Dari beg termal (sejuk-beku), susu perlu dikeluarkan dan direndam dalam air hangat hingga suam atau suamkan guna alat pemanas susu.

Syukur atas adanya mami Orked yang sama membantu dalam perjalanan menyusu badan ni.

Aku tak rajin ya buat stok seminggu ke depan atau untuk sebulan. Memang bukan Syaheera. Aku selalu pam hari ini, bekal untuk esok. Selalunya cukup sahaja. Aku berhenti pek formula pada pengasuhpun sebab dia tak guna selepas hari ketiga.

Moto hidup aku stress-free sejak ada Orked.

Jadi, aku memang pam tu dengan niat moga cukuplah untuk anak aku esok. Sememangnya begitulah. Dalam sehari di pejabat, awal-awal buat dua sesi pam (10am - 1pm - 4pm). Tapi sekarang dah jadi (12pm - 5pm). Anggaran dapat sehari sekarang dalam 12oz di pejabat. Malam atau pagi-pagi buta ketika Naabil lena dibuai mimpi ke Old Trafford dan Orked pula mimpi sedang berkejaran dengan abang Bayu, bangunlah Sheera Ghafar pam susu dengan mata kuyu. Masa tulah baca buku, tengok tik tok atau belek-belek kerja terjemahan, atau tengok youtube Cupcake Aisyah. Dapatlah dalam 4oz atau 5oz lagi.

Itulah bekal susu Orked keesokannya. Ranging dalam 16oz-17oz dengan 6 atau 7 pek milk storage.

Okay je. Even sekarang Orked dah mula makan, mama masih dapat sediakan susu secukupnya untuk kesayangan mama ni. 

Terima kasih juga pada Naabil sebab selalu bantu aku tak stres. Ada pernah je stres dengan dia tapi jarang. Hahahaha. Thanks Bee!

Macam aku cakap kat atas. Jadi mama ni banyak momen selalu rasa gagal padahal bukan semua benda kita boleh kawal.

Jadi coretan ini, antara satu dalam banyak hal lain yang aku bangga dan gembira sangat dengan diri sendiri sebab dapat buat si Orked sayang happy dengan cukup susu & nutrisi daripada susu badan mamanya.

Orked dah nak masuk 8 bulan dalam Ogos. Tuhan Maha Baik masih kurniakan susu mencurah-curah untuknya. Syukur sangat. Aku merancang beri Orked susu badan sehingga 1 tahun setengah atau 2 tahun, Dengan Izin-Nya. Tapi, kalau susu dah berhenti keluar awal pun tak apa. Bagi jelah formula semula nanti. Hee.

1 Ogos - 7 Ogos adalah minggu penyusuan badan.

Kerana itu aku catatkan ini. Untuk kenang-kenangan, mama Sheera begitu selfless sekali untuk anaknya, Orked sayang. Mama love you anak!


Monday 28 March 2022

Menjadi Mama Orked

Tiga bulan lima hari menjadi mama Orked. Anak mama baba seorang ni makin pintar, makin sedap dipeluk, makin manja, makin kami sayang.

Orked cukup membahagiakan mama setiap hari, juga selalu buat mama bimbang untuk hal-hal yang belum atau tak akan pernah berlaku. Aku tahu rasa itu tak akan hilang selagi nyawa dikandung badan. Begitulah halnya setelah menjadi seorang mama.

Membaca, menonton atau terlihat cerita mahupun video berkait ibubapa dan anak-anak selalu buat dada mudah  terharu, sebak, mata berair. Aneh sekali perasaan yang ada setelah punya anak. Suatu rasa atau keadaan yang tak terbayang akan aku rasakan.

Moga Tuhan sekalian alam jaga Orked, aku dan Naabil. Keluarga kecil yang semoga selamanya begini, ditemani Bayu tersayang.

Ketenangan seorang mama

Menjadi mama yang tenang, yang sihat, yang bahagia, ceria di hadapan anak, aku rasakan sangat penting untuk membentuk anak itu.

Setelah Orked dua bulan, bermula Mac kami mula hantarnya pada pengasuh. Syukur pada Tuhan, rezeki kami pengasuh yang dulunya menjaga sepupuku Hasya, punya kekosongan menjaga bayi bawah satu tahun.

Sudah sebulan mami menjaga Orked dan sememangnya aku dan Naabil selalu bersyukur Tuhan mudahkan urusan ini.

Aku sendiri dapat rasakan, sememangnya fasa pantang memang memerlukan kekuatan dan sokongan daripada keluarga terutama suami.

Kadang-kadang bila terasa penat bangun malam, menyusu, aku perlukan Naabil juga untuk bangun mendodoi Orked tidur.

Sangat perlu bagi seorang mama itu tenang apabila berada bersama anaknya. Syukur aku tahu itu. Syukur aku selalu mencari bantuan. Syukur ada suami yang kuat membantu.

Menghantar Orked ke pengasuh membuat hati sedikit lebih tenang, dada sedikit lebih lapang, kepala sedikit jadi ringan.

Aku tahu dia dijaga dalam tangan orang baik. Namun, rasa bimbang tetap ada, lebih-lebih lagi apabila baca macam-macam berita kemalangan dan kecelakaan di taska atau rumah pengasuh.

Doa aku, setiap pagi; moga Orked selalu Allah lindung.

Apapun, setelah pulang dari pejabat, memeluk Orked. Satu perasaan saja yang ada; tenang.

Untuk berjauhan dengannya kerana keperluan untuk bekerja itu sebenarnya ada sedikit baiknya. Seolah-olah aku cas semula tenaga, cas semula rasa sebelum bertemu dengan anak itu & memberinya bahagia.

Supaya dia selalu bahagia bersama mama.

Itulah yang aku harapkan.

Bagi sesetengah orang mungkin terlalu rigid soal penjagaan anak. Mungkin akan menganggap aku seorang mama yang penting diri.

Tapi pada aku, sebagai mama Orked, aku hanya mahu dia dekat dengan aku dalam keadaan aku paling tenang, paling bahagia. Aku dapat itu apabila berjauhan dengannya sekejap walaupun berdepan dengan pelbagai kekurangan lain.

Mak kata, "Insyaallah Orked faham. Mamanya kena kerja untuk dia juga."

Dengan izin Tuhan. Semoga Orked mengerti mama. Semoga Orked selalu bahagia dengan pilihan-pilihan penting diri mama baba untuknya.

Entah apalah yang aku tulis ini setelah hiatus dalam penulisan cerpen. haha. Hadap sajalah. 

Wednesday 30 December 2020

Sebelum 2020 Pergi

Memasuki 2020, aku sangkakan kereta terbang yang bakal kita peroleh. Tapi, wabak pula yang datang maka kucar-kacirlah dunia seisinya. Hal yang tak terbayangkan sebelum ini.

Aku memulai Januari dengan kehadiran Bayu dan pekerjaan baru. Dua hal utama yang aku syukuri dalam memulai 2020.


Bayu dari sekecil-kecil kucing, sekarang dah pun sebesar-besar bapa kucing. Sekejap masa berlalu dan memiliki Bayu ketika aku dan Naabil terkurung di rumah adalah satu nikmat dan rezeki yang besar kerana jika tidak kami mesti lebih bosan lagi. Terima kasih Bayu.

Aku juga bersyukur kerana memiliki kerja sebelum segala kekalutan ini berlaku. 15 Januari 2021 nanti genaplah setahun aku menulis untuk DAP. Aku bangga dengan diri sendiri kerana berani melawan segala sangkaan-sangkaan salah orang terhadap parti ini dan bekerja untuk DAP adalah sesuatu yang aku tidak akan sesali seumur hidup. Ia membetulkan sudut pandang aku pada politik tanah air. Panjang lebarlah tulisan ini kalau mahu bercakap penuh tentang DAP atau politik. Namun satu hal yang pasti, anak-anak muda perlu celik politik. Tak terlibat secara langsung pun, sekurang-kurangnya perlu ambil tahu isu-isu berkaitannya kerana segala hal dalam hidup ini, bergantung pada kebijakan kita memilih pemimpin negara.

Februariku yang sederhana. Berjalan-jalan di sekitar KL, temani Naabil ikuti acara di AtasxBijan, Bos belanja makan durian dan oh! Bayu pertama kali divaksin. Ini semua...tanpa sedar apa yang menanti di Mac:


Mac hingga April banyak mengajar aku erti menghargai hidup terkurung di rumah bersama Naabil dan Bayu. Aku juga belajar memasak dan boleh aku katakan kini, aku mampu masak lebih baik dari awal-awal perkahwinan dulu. Aku juga banyak hasilkan lukisan dan catan. Selain, cuba bermain kalimba untuk suka-suka. Hehe.


April, satu-satunya cerpen aku pada tahun ini - Gigi Palsu Pasar Pudu terbit dalam zine Pancharoba. Ia terhasil dari memori aku berjalan di celah-celah kepadatan Pasar Pudu setiap hari untuk ke pejabat. Aku nikmati penulisan itu. 25 Disember baru-baru ini, seorang penterjemah mahu buat translasi cerpen ini ke dalam Bahasa Inggeris untuk diterbitkan dalam majalah adda. Doakan semoga tulisan ini terpilih dan dapat sampai kepada pembaca antarabangsa.


Mei kali ini aku bahagia sekali. Menyambut Ramadhan pertama bersama Naabil sebagai suami-isteri. Kami terkurung jauh dari keluarga. Pun begitu, macam-macam resepi kami cuba masak sampai naik jemu. Haha.

Mak buat kejutan untuk pertama kali dalam hidup di usia 26. Siap dapat bear besar! Sangat bahagia. Oh, tahun ini aku sambut ulang tahun sekali lagi dalam bulan Ramadhan. Lega juga kami sudah boleh dine-in di luar. Haha. Naabil buat kejutan dengan cupcakes yang punya benda-benda aku suka. Buku juga catan paling aku suka tahun ini dan kalimba. Gambar raya pertama kami di hadapan bangunan KTM Kuala Lumpur.


Jun, hari ulangtahun kelahiran suami tercinta. Aku tempah cupcakes yang tak berapa aku puas hati sangat sebab tak dapat letak logo MU original. Salah aku juga sebab lambat fikirkan tentang manisan. Aku book dinner di Subak Restaurant. Suasananya romantis dan nyaman betul.

Kemudian, kami berkumpul di Pasir Panjang, kampung keluarga mertua. Dapatlah merasa nikmat raya bersama keluarga mertua pertama kali. Bahagia.


Kemudian, Julai datang dan aku berkumpul semula bersama keluarga tercinta di Taiping. Bertemu atok dan keluarga acik di Kuala Lumpur, menyambut ulang tahun Asma' tersayang, makan malam bersama KD dan Cuya sebelum Maryam lahir dan bekerja dari Parlimen. Julai, kita sudah agak selamat dari wabak. Jumlah kes menurun.

Namun, kami sekeluarga kehilangan Pak Ngah Hamid dalam Julai. Satu kehilangan besar buat keluarga sebelah emak. Semasa hidupnya selalu mengajak kami yang muda dalam keluarga berbual dan bergurau. Ini mungkin kali pertama aku merasakan sendiri kematian ahli keluarga paling dekat. Ia menyakitkan.


Penghujung Ogos, genap setahun pernikahan kami berdua. Kami berbulan madu dan menyambut ulang tahun perkahwinan di Pulau Perhentian. Segalanya indah tentang sambutan ulang tahun pertama ini. Mungkin juga kerana tidak boleh berangan lebih-lebih. Ehek.




September, setelah pulang dari Pulau Perhentian, keluarga datang dari Taiping melawat aku dan Naabil di Batu Caves. Sungguh, aku nikmati masa-masa itu.

Kemudian, aku pergi tinggalkan Naabil dan Bayu berdua di rumah dan pergi ke Sabah. Pengalaman di Sandakan memang menarik dan yang paling aku tak akan lupakan adalah Pulau Berhala, udang serta sotong salted egg-nya yang lazat tak ada tandingan dan pengalaman dalam kapal terbang semasa pulang! Aku fikir itulah hari terakhir aku bernafas di dunia ni. Sampai entah siapa-siapa di sebelah (perempuan) pegang tangan aku yang asyik terkejut dan jelas takut. Huaaaaa silap tak tanya nama.

Rasa macam akan trauma kalau naik kapal terbang sekali lagi...


Paling aku gembira dalam Oktober adalah mempunyai 'bookfriend' untuk aku kongsikan bacaan bulanan. Aku hubungi Myra pada Oktober dan taraaaa pada awal November dan awal Disember kami bertemu maya untuk berbual tentang apa saja juga berkongsi bacaan bulan sebelumnya.

Tak sabar menantikan pertemuan-pertemuan pada tahun hadapan. Terima kasih Myra kerana sudi :)


Apa yang menarik dalam November adalah kesibukan kami mengurus kewangan, mengemas rumah, membeli barangan rumah, mengangkut barang dan lain-lain. Ya, kami pindah rumah! Alhamdulillah. Ini adalah cara paling baik untuk masuk ke 2021; tukar angin, tukar pemandangan, bina semangat dan mengisi dengan segala yang kita suka di satu tempat baru.

Tapi, untuk pindah lagi mungkin beberapa tahun lagi kot. Penat gila!


Banyak hal yang aku hargai dalam Disember. Kami pulang bertemu keluarga setelah 4 bulan tidak bertemu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang awal-awalnya melarang rakyat merentas negeri. Kemudian, dengan nama yang sama kami diizin merentas negeri. Apa lagi, kami terus merancang pulang ke Perak!

Selepas 4 bulan juga, kami bertemu keluarga acik. Anehnya, Hasya masih ingat tentang hadiah hari lahirnya (hand sanitizer unicorn) walaupun selepas 2 bulan. Haha!

Kemudian aku membantu Wan Nor Azriq dalam promosi buku terbarunya. Sebuah kumpulan cerpen, Mana Dadu Darjeeling? Aku gembira dapat turut serta sebagai pembaca awal, moderator dan memberikan review tentang buku ini.

Oh, aku juga beli pokok bunga untuk menghias balkoni kecil kami. Namanya, melampodium atau butter daisy. Kuningnya sangat terang dan menggoda. Aku belajar mencintainya - setiap pagi berbual seperti mana pagi-pagi sebelum aku akan berbual dengan Bayu. Haha dah serupa emak anak dua!


Aku bersyukur pada hari ini aku masih sihat, walaupun aku dalam keadaan agak berisiko untuk terkena jangkitan wabak ketika bertugas di Sabah. Aku bersyukur masih bernyawa. Aku bersyukur hampir satu tahun bekerja dengan organisasi yang sangat menjaga pekerja. Paling besar sekali syukurku atas keberadaan aku di dunia ini dan ditemani Naabil serta Bayu dalam mengharungi situasi sukar sekarang. Syukur sekali ada keluarga dan keluarga mertua yang menyayangi. Alhamdulillah.

Tahun ini, ada pintu yang aku tutup buat beberapa orang. Aku lebih tenang kerana aku kuat merasakan bahawa ketiadaan aku pada beberapa orang itu tidak membuat dunia mereka bergoncang, berubah. Aku pergi dengan tenang. Aku harap mereka juga mendapat tenang dan bahagia selalu dalam apa-apapun.

Maafkan aku kalau pernah ada hati yang terguris.

Semoga 2021 aku berani mencuba hal-hal baru, lebih rajin menulis, lebih banyak buku yang dibaca berbanding tahun ini, lebih banyak membuat kawan, lebih dalam semua hal yang aku impikan. Amin ya rabbal alamin.






















Saturday 18 July 2020

Hai. Sudah Peluk Diri Sendiri Hari Ini?

Jika belum, maka peluklah diri sendiri seeratnya sekarang. Ya, sekarang.


Sungguhpun suami atau kekasih memeluk erat penuh cinta-sayang satu hari ini, masih belum terlewat untuk tubuh itu dipeluk lagi. Sungguh di kebanyakan masa lain, dia perlukan kasih lebih besar dari pemilik sementaranya (kau, aku).


Ada yang Tertutup, Ada yang Terbuka di Awal Julai
Awal Julai, ada sesuatu yang berlaku dan ada satu pintu yang telah aku katup dan tidak ingin aku buka lagi. Di sebalik itu, mata aku jadi terbuka-

1) Peluklah diri sendiri dan jangan diletakkan harap total pada orang lain.
2) Untuk segala fikir-fikir di kepala juga rasa di hati, ia bukan tanggungjawab orang lain, melainkan diri sendiri.

Awal Julai mengajar aku dua perkara ini dan untuk itu aku akan lebih kerap memeluk diri sendiri selain meyakinkannya bahawa akulah manusia yang paling sayang dan yakin akannya!

Coretan tengah malam 19 Julai 2020

-SG-


Saturday 7 September 2019

naabilXsheeraFinally!

Mendengar Kadi menerangkan lafaz taklik yang sedang dibaca Naabil
Sheera sah menjadi isteri kepada Naabil. Semoga cinta kami selalu berpanjangan.
Alhamdulillah. Syukur 31 Ogos 2019 menjadi tarikh yang membahagiakan buat aku, Naabil dan seluruh keluarga. Menjadi isteri kepada Naabil adalah apa yang aku impikan sejak empat tahun lepas kerana aku tahu, di dunia ini sudah berkurangan lelaki sepertinya. Tapi sekarang, dia untuk aku saja! Hoho.

Majlis akad yang lepas tidak akan lancar dan sempurna  tanpa orang kuatnya iaitu emak sendiri. Doanya yang tak putus-putus dan segala persiapan yang dilakukan bersama pertolongan daripada atok, abah dan adik-adikku semasa ketiadaan aku di Taiping. Merekalah disebalik kejayaan hari bermakna buat sepasang Naabil dan Sheera. Terima kasih emak, abah dan keluarga seluruhnya. Kami akan selalu bersyukur mengenangkan itu.

Atok, Mak, Abah, Tiah, Apiq, Aiem dan Pina
Terima kasih juga buat keluarga mertua yang juga ada bahagian kebaikan masing-masing untuk majlis akad nikah ini. Awkward juga nak panggil ummi abi awalnya. Tapi sekarang, dah okay. Haha.

Imran, Ummi, Asma', Erfan, Abi dan Ammar
Asalnya memang aku dan Naabil ikut betul-betul hasil diskusi masa bertunang setahun yang lepas - nikah & majlis dua tahun lagi, bermakna tahun depan. Jadi kami memang jelas tak cukup persiapan. Kedua-dua keluarga yang mahukan majlis akad dipercepatkan, jadi inilah dia. Majlis kecil tapi cukup membahagiakan dan dihadiri keluarga terdekat dan sahabat tersayang. Jangan risau sahabat yang lain tak dapat hadir, next two majlis ada. Aha okay?

Naabil menyarungkan cincin, hadiah daripada Ummi dan Abi
Percayalah, semasa kami perlu berpegangan tangan dihadapan keluarga dan sahabat untuk pertama kalinya, tiada kejadian terketar-ketar berlaku. Aku rasa itu tak perlu. Itu saja. Malu itu ada tapi hello, saya nak layan semua tetamu yang hadir lagi. Jadi, jom. Cepat selesaikan ini! Gituuu.


Pelamin akad nikah naabilXsheera daripada Malina Bridal
Aku SUKA sangat dengan pelamin akad nikah daripada Malina Bridal ni. Aku tunjukkan contoh-contoh pelamin yang lebih kurang aku mahukan. Aku beritahu tema juga, beberapa bulan sebelum majlis dan sebelum mereka datang pasang, aku beritahu yang aku agak risau takut tak kena dengan jiwa aku. Haha. Selesai saja, aku hembus napaih legaaaaa. Simple dan eksklusif pada mata aku. Sempat aku bertanya pada pemilik Malina Bridal ni - Nurul sama ada mereka pernah atau tidak, bina pelamin seperti yang aku punya sebelum ini. Nurul: "Tak pernah sebab kebanyakan orang dia suka design simetri. Apa yang ada di kanan, begitulah dia mahu ada di kiri."
Aku sengih saja.

Asalnya aku tempah mini pelamin (RM450). Tapi ruang tamu aku agak besar dan hodoh kalau tak cover semua bahagian. Jadi aku minta tambahkan carpet untuk cover keseluruhan bahagian pelamin dan bahagian akad nikah. Tambah meja dan bantal untuk akad nikah total RM750. Berbaloi en? Aku suka benda berbaloi ni. Kehkeh.

Caterer kami daripada Abang Lan - kenalan lama mak & abah sampai ke hari ni. Ramai puji kuah dalcanya. Lauk-pauknya memang sedap. Kami kalau pi kenduri area Taiping, dah tahu dah ambil dengan Abang Lan kalau rasanya sedap macam yang hangpa makan hari tu. Kehkeh. Tapi biasalah, aku dengan Naabil makan 5/6 suap ja tu pun berkongsi pinggan. Masa tunang macam tu, masa nikah pun macam tu. Tak keruan walaupun ada sedia meja vip(?). Naabil ambil nasi dan lauk daripada meja lauk dan kami duduk makan dengan kawan-kawan yang datang lewat. Lepak chill dan bergosip!

Strawberry lolipops yang Shiera sponsour.
Kami pergi beli sehari sebelum majlis lepas aku fikir, budak-budak perlukan ini!

Mak order daripada Mama Rozie. Tengoklah caramelnya tu!
Sticker - aku design sendiri guna Canva. Haha.
Banyak yang aku perlu syukuri dalam majlis pernikahan aku yang asalnya mahu lebih simple daripada ni tapi diperbaiki oleh mak, keluarga, sahabat dan jiran-jiran terdekat. Aku masih tak sangka akhirnya setelah 4 tahun, kami disatukan dalam majlis yang pada aku cukup indah. Ramai kawan-kawan yang dari jauh sudi hadir. Aku sangat menghargai kehadiran semua pada hari tu. Sampai kami lupa, kami tak ada gambar berdua bersama. Aku cancel sesi outdoor sebab aku nak kenal seluruh keluarga Naabil dan begitu juga aku mahu Naabil dikenalkan pada seluruh ahli keluarga aku yang hadir. Alhamdulillah kami capai itu.

Pada aku, gambar berdua atau sesi outdoor boleh diatur lain. Tapi peluang berkenalan dengan ahli keluarga yang agak jauh ni bukanlah selalu kita dapat. Jujur kami tak ada gambar berdua yang proper. Weh hahaha!

Naabil, Sheera, Kakngah Eka, Shiera dan Nedio

Sya, Sheera dan Shiera

Naabil, Sheera, Kakngah Eka dan Faiz

Fathanah dan Sheera

Convent Girlfirends - Shareen, Nana, Naabil, Sheera, Yana, Iylia

Lutfi, Naabil, Sheera, Amirarmir

Man, Naabil, Sheera, Shifaa

Ammardani, Ammar, Mok Nazri, Naabil, Munim, Khalid, Imran, Matek, Ejat, Anas
Kak Ainunl, Sheera, Naabil dan Azriq

Terima kasih semua. Kami janji akan selalu bahagia.

#naabilXsheeraFinally!


Wednesday 31 July 2019

Pak Cik di Family Mart



Semalam,
masa aku beratur untuk bayar Cookies Frappe di Family Mart, aku senyum pada pak cik yang beratur di belakang aku. Yang beratur agak ramai dan jurujual agak perlahan uruskan seorang-seorang kerana hanya satu kaunter dibuka. Pak cik yang aku tak tahu namanya tu cakap, "dah biasa dah, kat Malaysia ni kan? Macam ni lah.."

Aku senyum saja. Aku senyum pada Naabil juga ketika itu menunggu sedikit jauh dari barisan di kaunter. "Pak cik baru balik dari Amerika, 35 tahun tinggal di sana. Keluarga pak cik minta balik ke Malaysia. Dekat sana mana macam ni. Dekat Malaysia je macam ni. Kalau boleh pak cik tak nak balik Malaysia. 35 tahun dekat sana lepas habis belajar terus bekerja dekat sana. Rumah, harta semua dah dekat sana," pak cik yang aku tak tahu namanya tu teruskan berbual.

Aku senyum saja, mengiakan disela patah ayatnya. Sampai giliran aku untuk bayar, aku bayar dan terus nikmati Cookies Frappe dari Family Mart dengan Naabil. Boleh ah.