Aku memulai Januari dengan kehadiran Bayu dan pekerjaan baru. Dua hal utama yang aku syukuri dalam memulai 2020.
Aku juga bersyukur kerana memiliki kerja sebelum segala kekalutan ini berlaku. 15 Januari 2021 nanti genaplah setahun aku menulis untuk DAP. Aku bangga dengan diri sendiri kerana berani melawan segala sangkaan-sangkaan salah orang terhadap parti ini dan bekerja untuk DAP adalah sesuatu yang aku tidak akan sesali seumur hidup. Ia membetulkan sudut pandang aku pada politik tanah air. Panjang lebarlah tulisan ini kalau mahu bercakap penuh tentang DAP atau politik. Namun satu hal yang pasti, anak-anak muda perlu celik politik. Tak terlibat secara langsung pun, sekurang-kurangnya perlu ambil tahu isu-isu berkaitannya kerana segala hal dalam hidup ini, bergantung pada kebijakan kita memilih pemimpin negara.
Februariku yang sederhana. Berjalan-jalan di sekitar KL, temani Naabil ikuti acara di AtasxBijan, Bos belanja makan durian dan oh! Bayu pertama kali divaksin. Ini semua...tanpa sedar apa yang menanti di Mac:
Mac hingga April banyak mengajar aku erti menghargai hidup terkurung di rumah bersama Naabil dan Bayu. Aku juga belajar memasak dan boleh aku katakan kini, aku mampu masak lebih baik dari awal-awal perkahwinan dulu. Aku juga banyak hasilkan lukisan dan catan. Selain, cuba bermain kalimba untuk suka-suka. Hehe.
April, satu-satunya cerpen aku pada tahun ini - Gigi Palsu Pasar Pudu terbit dalam zine Pancharoba. Ia terhasil dari memori aku berjalan di celah-celah kepadatan Pasar Pudu setiap hari untuk ke pejabat. Aku nikmati penulisan itu. 25 Disember baru-baru ini, seorang penterjemah mahu buat translasi cerpen ini ke dalam Bahasa Inggeris untuk diterbitkan dalam majalah adda. Doakan semoga tulisan ini terpilih dan dapat sampai kepada pembaca antarabangsa.
Mei kali ini aku bahagia sekali. Menyambut Ramadhan pertama bersama Naabil sebagai suami-isteri. Kami terkurung jauh dari keluarga. Pun begitu, macam-macam resepi kami cuba masak sampai naik jemu. Haha.
Mak buat kejutan untuk pertama kali dalam hidup di usia 26. Siap dapat bear besar! Sangat bahagia. Oh, tahun ini aku sambut ulang tahun sekali lagi dalam bulan Ramadhan. Lega juga kami sudah boleh dine-in di luar. Haha. Naabil buat kejutan dengan cupcakes yang punya benda-benda aku suka. Buku juga catan paling aku suka tahun ini dan kalimba. Gambar raya pertama kami di hadapan bangunan KTM Kuala Lumpur.
Jun, hari ulangtahun kelahiran suami tercinta. Aku tempah cupcakes yang tak berapa aku puas hati sangat sebab tak dapat letak logo MU original. Salah aku juga sebab lambat fikirkan tentang manisan. Aku book dinner di Subak Restaurant. Suasananya romantis dan nyaman betul.
Kemudian, kami berkumpul di Pasir Panjang, kampung keluarga mertua. Dapatlah merasa nikmat raya bersama keluarga mertua pertama kali. Bahagia.
Kemudian, Julai datang dan aku berkumpul semula bersama keluarga tercinta di Taiping. Bertemu atok dan keluarga acik di Kuala Lumpur, menyambut ulang tahun Asma' tersayang, makan malam bersama KD dan Cuya sebelum Maryam lahir dan bekerja dari Parlimen. Julai, kita sudah agak selamat dari wabak. Jumlah kes menurun.
Namun, kami sekeluarga kehilangan Pak Ngah Hamid dalam Julai. Satu kehilangan besar buat keluarga sebelah emak. Semasa hidupnya selalu mengajak kami yang muda dalam keluarga berbual dan bergurau. Ini mungkin kali pertama aku merasakan sendiri kematian ahli keluarga paling dekat. Ia menyakitkan.
Penghujung Ogos, genap setahun pernikahan kami berdua. Kami berbulan madu dan menyambut ulang tahun perkahwinan di Pulau Perhentian. Segalanya indah tentang sambutan ulang tahun pertama ini. Mungkin juga kerana tidak boleh berangan lebih-lebih. Ehek.
September, setelah pulang dari Pulau Perhentian, keluarga datang dari Taiping melawat aku dan Naabil di Batu Caves. Sungguh, aku nikmati masa-masa itu.
Kemudian, aku pergi tinggalkan Naabil dan Bayu berdua di rumah dan pergi ke Sabah. Pengalaman di Sandakan memang menarik dan yang paling aku tak akan lupakan adalah Pulau Berhala, udang serta sotong salted egg-nya yang lazat tak ada tandingan dan pengalaman dalam kapal terbang semasa pulang! Aku fikir itulah hari terakhir aku bernafas di dunia ni. Sampai entah siapa-siapa di sebelah (perempuan) pegang tangan aku yang asyik terkejut dan jelas takut. Huaaaaa silap tak tanya nama.
Rasa macam akan trauma kalau naik kapal terbang sekali lagi...
Paling aku gembira dalam Oktober adalah mempunyai 'bookfriend' untuk aku kongsikan bacaan bulanan. Aku hubungi Myra pada Oktober dan taraaaa pada awal November dan awal Disember kami bertemu maya untuk berbual tentang apa saja juga berkongsi bacaan bulan sebelumnya.
Tak sabar menantikan pertemuan-pertemuan pada tahun hadapan. Terima kasih Myra kerana sudi :)
Apa yang menarik dalam November adalah kesibukan kami mengurus kewangan, mengemas rumah, membeli barangan rumah, mengangkut barang dan lain-lain. Ya, kami pindah rumah! Alhamdulillah. Ini adalah cara paling baik untuk masuk ke 2021; tukar angin, tukar pemandangan, bina semangat dan mengisi dengan segala yang kita suka di satu tempat baru.
Tapi, untuk pindah lagi mungkin beberapa tahun lagi kot. Penat gila!
Banyak hal yang aku hargai dalam Disember. Kami pulang bertemu keluarga setelah 4 bulan tidak bertemu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang awal-awalnya melarang rakyat merentas negeri. Kemudian, dengan nama yang sama kami diizin merentas negeri. Apa lagi, kami terus merancang pulang ke Perak!
Selepas 4 bulan juga, kami bertemu keluarga acik. Anehnya, Hasya masih ingat tentang hadiah hari lahirnya (hand sanitizer unicorn) walaupun selepas 2 bulan. Haha!
Kemudian aku membantu Wan Nor Azriq dalam promosi buku terbarunya. Sebuah kumpulan cerpen, Mana Dadu Darjeeling? Aku gembira dapat turut serta sebagai pembaca awal, moderator dan memberikan review tentang buku ini.
Oh, aku juga beli pokok bunga untuk menghias balkoni kecil kami. Namanya, melampodium atau butter daisy. Kuningnya sangat terang dan menggoda. Aku belajar mencintainya - setiap pagi berbual seperti mana pagi-pagi sebelum aku akan berbual dengan Bayu. Haha dah serupa emak anak dua!
Tahun ini, ada pintu yang aku tutup buat beberapa orang. Aku lebih tenang kerana aku kuat merasakan bahawa ketiadaan aku pada beberapa orang itu tidak membuat dunia mereka bergoncang, berubah. Aku pergi dengan tenang. Aku harap mereka juga mendapat tenang dan bahagia selalu dalam apa-apapun.
Maafkan aku kalau pernah ada hati yang terguris.
Semoga 2021 aku berani mencuba hal-hal baru, lebih rajin menulis, lebih banyak buku yang dibaca berbanding tahun ini, lebih banyak membuat kawan, lebih dalam semua hal yang aku impikan. Amin ya rabbal alamin.












No comments:
Post a Comment