Tuesday, 6 June 2017

Duduk-duduk di tengah Dataran


Semalam aku dan Naabil duduk di tengah-tengah Dataran Merdeka. Dua bangunan mengapit kami: Royal Selangor Club dan bangunan Sultan Abdul Samad. Ada satu jawapan daripada Naabil yang betul-betul mengusik hati hingga aku terbawa-bawa menulis di sini.

Jikalau dilihat dari dataran, Ada cermin jernih yang memperlihatkan betapa mewahnya ruang makan di Royal Club Selangor. Menariknya malam itu, ada beberapa orang pengemis berbaring di bangku betul-betul sudut bawah bangunan mewah itu. Hati aku terusik. Lalu aku bertanya pada Naabil...

Aku: Agaknya bila orang-orang kaya makan di ruang tu, mereka tengok atau tidak orang-orang di dataran ni ya?
Naabil: Buat apa diorang tengok sini? Mestilah tengok bangunan tu (Memuncungkan bibirnya ke arah bangunan Sultan Abdul Samad).

Ya. Buat apa mereka memandang ke bawah sini? Pastilah mereka melihat ke arah bangunan cantik disimbah cahaya lampu kekuning-kuningan itu. Mengindahkan mata memegahkan rasa. Buat apa mereka memandang ke bahawa sini? Tiada yang menarik darinya. Hanya keluarga kecil yang datang membawa anak-anak mengecap sedikit nyaman di tengah dataran dengan berlari riang tanpa arah. Tempat anak-anak muda tanpa matlamat berpeleseran menderum motor dan enjin kereta untuk perhatian. Hanya ada beberapa orang peniaga kecil menyorong troli memperjudi rezeki. Pengemis-pengemis tidak berbaju berjalan dan mengambil tempat di ruang-ruang sepi sekitarnya. Tiada yang indah di bawah sini. Tiada apa-apa yang perlu difikirkan di sini.

Lalu aku simpan senyumku sendiri.

No comments:

Post a Comment