Thursday, 8 June 2017

Tuesday, 6 June 2017

Duduk-duduk di tengah Dataran


Semalam aku dan Naabil duduk di tengah-tengah Dataran Merdeka. Dua bangunan mengapit kami: Royal Selangor Club dan bangunan Sultan Abdul Samad. Ada satu jawapan daripada Naabil yang betul-betul mengusik hati hingga aku terbawa-bawa menulis di sini.

Jikalau dilihat dari dataran, Ada cermin jernih yang memperlihatkan betapa mewahnya ruang makan di Royal Club Selangor. Menariknya malam itu, ada beberapa orang pengemis berbaring di bangku betul-betul sudut bawah bangunan mewah itu. Hati aku terusik. Lalu aku bertanya pada Naabil...

Aku: Agaknya bila orang-orang kaya makan di ruang tu, mereka tengok atau tidak orang-orang di dataran ni ya?
Naabil: Buat apa diorang tengok sini? Mestilah tengok bangunan tu (Memuncungkan bibirnya ke arah bangunan Sultan Abdul Samad).

Ya. Buat apa mereka memandang ke bawah sini? Pastilah mereka melihat ke arah bangunan cantik disimbah cahaya lampu kekuning-kuningan itu. Mengindahkan mata memegahkan rasa. Buat apa mereka memandang ke bahawa sini? Tiada yang menarik darinya. Hanya keluarga kecil yang datang membawa anak-anak mengecap sedikit nyaman di tengah dataran dengan berlari riang tanpa arah. Tempat anak-anak muda tanpa matlamat berpeleseran menderum motor dan enjin kereta untuk perhatian. Hanya ada beberapa orang peniaga kecil menyorong troli memperjudi rezeki. Pengemis-pengemis tidak berbaju berjalan dan mengambil tempat di ruang-ruang sepi sekitarnya. Tiada yang indah di bawah sini. Tiada apa-apa yang perlu difikirkan di sini.

Lalu aku simpan senyumku sendiri.

Monday, 5 June 2017

Reviu Tinju & Peluru karya Johan Radzi



*Boleh juga untuk perhatian rakan-rakan yang kepengen mencari buku sedap dan layak dilabel bahan sastera.

15 cerpen sedap tidak tetap kepanjangannya. Ada yang betul-betul panjang dan ada yang betul-betul pendek membuatkan aku rasa tak puas.

Padaku penulis bijak memilih dan mengolah kata. Boleh juga aku katakan bahasanya puitis namun tidak keterlaluan. Sedap. Membuatkan rasa aku pergi lebih dalam pada cerita-ceritanya. 

Cerpen-cerpen yang ditulis Johan menyentuh tema atau subjek yang pelbagai. Aku sebagai pembaca tidak bosan kerana adunan olahan bahasa dan plot cerita yang aku kira mantap.

'Orang sastera perlu sensitif dengan keadaan sekeliling' ; ini kata-kata yang aku hadam dan pegang daripada pensyarahku. 

Begitu yang diterjemahkan Johan dalam cerpen-cerpennya. Semuanya terlihat begitu rinci sekali. Hal-hal kecil, selalunya tak dirakam dalam kotak fikiran manusia yang sempit dilepaskan penulis dalam tulisan-tulisannya. Ini juga buatkan aku betul-betul senyum sendiri.

Untuk aku yang banyak didedahkan dengan gaya penulisan tradisional, agak kekok membaca dialog-dialog tanpa tanda petik. Haha. *Aku perlu lebih banyak membaca. Sobs sobs.

Untuk sebuah kumpulan cerpen debut, ini sumpah osem.

Aku tak mahu spoil mana-mana cerita. Walaupun jari geram mahu memberikan contoh.

Bagi keseluruhan cerpen yang ada, paling aku suka:
Nuh, Si Kucing dalam Hujan
Hal Tiga Ekor Itik
Perempuan yang Pulang ke Lautan.

Kenapa aku pilih tiga yang di atas? Beli dan baca.
Kalau tak baca ini, jangan dicanang Malaysia lokek dengan bahan bacaan bermutu.