Monday, 27 March 2017

Minggu Penulis Remaja 2017


Pertama-tamanya, lembaran ini aku tulis juga buat adik-adik yang bakal mengikuti program ini. Pasti ada yang google. TAHNIAH! Kalian penulis terpilih yang pastinya hebat-hebat. Tahniah. Keduanya, aku menulis ini untuk ingatan-ingatanku. Supaya mereka selalu bercantuman, tidak berserak. Aku mahu selalu ingat bahawa aku pernah mengikuti sebuah program yang mendekatkan aku dengan jiwa-jiwa yang hampir sama kesemuanya. Namun, ternyata mereka kesemuanya hebat dan aku hanyalah si kerdil yang beruntung.

Minggu Penulis Remaja (MPR) telah melahirkan puluhan, barangkali ratusan penulis di serata Malaysia. Duduk berhimpun, berbincang, menambah ilmu dan berkarya selayaknya. Ternyata apabila bersama-sama dengan yang seangkatan, kita jadi lebih senang untuk berkongsi. Berjumpa dengan teman-teman baru yang seolah-olah telah lama kita kenali. Padaku, MPR  membuka ruang buatku melihat dengan lebih luas mata. Bahawa ternyata, menjadi penulis itu merupakan satu tanggungjawab bakat yang dipikul untuk masyarakat kita keseluruhannya.

MPR membuktikan padaku bahawa hanya dengan MEMBACA, aku mampu menjadi penulis yang lebih baik. Aku belum buktikan. Aku melihat sosok-sosok yang aku kagumi semasa di sana. Mereka akan selalu aku sebut-sebut untuk aku ingat bahawa nama-nama itu pernah bersama aku, menimba ilmu dan membuka mataku bahawa dengan malas, pasti aku tidak kemana-mana.

MPR mengembalikan aku yang sudah lama meninggalkan bacaan-bacaanku kerana disibukkan dengan perkara lain sedangkan baca itu dulunya minatku. Entah kenapa. Aku yang dulu telah kembali lagi! Aku jadi suka :')

Terima kasih Puan Zaharanum kerana mencalonkan namaku untuk menyertai MPR. Ternyata ia mengubah aku sedikit sebanyak untuk berkarya dengan lebih baik. Aku jadi tidak sabar habisi semester ini dan menghasilkan beberapa karya untuk aku lihat sendiri perubahan selepas MPR. Ternyata karya Yang Asing yang diterbitkan Tunas Cipta November 2016, padaku seperti  memberi tuah. Sungguhpun jika aku baca semula, malu besar aku jadinya. Aku perlu berubah untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

Enam hari di sana, banyaknya mencatat nota daripada Cikgu Rosli K. Matari dan Cikgu SM Zakir. Aku sedut juga ilmu daripada Dato Rahman Shaari dan Pak Malim yang berkongsi pengalaman-pengalaman berharga mereka. Segala ilmu itu berbaloi padaku untuk rm200 yang dibayar. Kerana setelah itu, bila melihat puisi-puisi sebelum ini yang aku hasilkan, pasti aku mahu ketawa. Boleh kalian bayangkan betapa lucunya itu padaku.

Enam hari di sana, ada juga sesi penghayatan yang membawa aku dan 21 orang peserta lain keluar ke Kuala Gandah, menonton gajah. Di pusat konservasi gajah di sana kami mengambil pengalaman baru. Untuk aku sendiri itu pertama kali ke situ.

Pasti aku kenang selalu segalanya selama enam hari di sana. Wajah-wajah yang terlalu tinggi nilai bakat yang ada, tidak kedekut sedikit pun. Jadikan aku gembira berada dalam kelompok mereka. Semoga jumpa lagi!

Saturday, 11 March 2017

Tintir Penguasa

(Umar Abdul Aziz)

Ya,
Biar kita berbicara dalam gelita,
Tintir penanda amanah seorang penguasa,
Dan tintir,
Selayaknya buat benua dan jelata.

Difikiranmu aku mabuk kuasa,
Khayal dalam nyata tiada berjiwa,
Namun aku penguasa berhati hamba.

Harta, kuasa bagai nanah membusuk,
Yangkan merebak menambah parah,
Yangkan menyebar lara dan resah.

Namun, jujur amanah,
Yangkan memberi indah,
Tidak hanya pada fatamorgana dunia,
Tapi iakan ikut bersama ke dunia selama.

kosa kata:
Tintir = Lampu minyak tanah, Pelita