Friday, 28 April 2017

Puisi Pendek 3


Patahkan deduri mawar toreh bunganya
Biar robek kelopaknya yang merah
Gemalai ia jatuh berserakan
Atas tunggul batang mawar yang mati

28.4.17 - 5:15pm - kk8

Wednesday, 26 April 2017

Awang Seberang


Sumber: Malay Mail Online

Awang menunduk langkahnya perlahan. Terik mentari memanggang hingga ke isi. Hujung mata menjeling bungkusan pada tangan berdebu.  Menanggung jemu tetap dia melahirkan senyum. Perut menjerit minta disaji padanya kecuali angin. Bagai benalu yang menjalar menangkap zat matari, tetap awang seberang  mencari sisa kerja di tanah ini. Panas rakus yang memakan hingga ke daging, atau dingin hujan bertempiaran kilat memekik, dia tidak lelah. Asalkan bawah tudung saji keluarga di seberang masih mampu diisinya, menjunjung bata membina negara orang tidak apa-apa. Awang seberang dengan kisahnya, awang di sini nganga tak sudah.

p/s: Cubaan pertama puisi prosa.

Monday, 24 April 2017

Pelayan Kedai Mamak



Hari ini deria rasaku menginginkan sesuatu yang pedas-pedas hangat. Jadi aku ajak Naabil ke restoran mamak yang sudah lama tidak kami jejakkan diri. Lokasinya di Bangsar. Seorang pelayan yang agak rapat dengan kami sebelum ini, datang menegur, bertanya khabar dan sebab mengapa sudah lama tidak datang. Kemudian seorang lagi pelayan datang dan menampar bahunya perlahan tanda menegur jangan berbual lama. Aku tahu kerana dia kemudian meminta diri yang sebelumnya rancak berbual dengan Naabil. Ramah orangnya dan baik benar. Dari Myanmar, dia.

Tapi bukan ini yang mahu aku hebahkan.

Hari ini jatuh pada hari pertabalan Agong, Sultan Muhammad V - Yang di-Pertuan Agong ke-15. Sambil menjamah nasi putih, kuah kari campur, sayur kobis dan ayam gorengnya yang sedap, sesekali aku mengerling ke arah tv yang menyiarkan detik-detik pertabalan baginda. Kemudian, aku tertarik dengan seorang pelayan yang memegang bendera Malaysia sambil tersenyum. Yang jelas dia bukan warganegara Malaysia. Barangkali dari Myanmar atau Vietnam  tapi bukan dari Bangladesh. Entah.

Menariknya, pelayan itu tidak lekang senyum dengan bendera  berposisi terbalik di tangan. Dia mahu menggantungkan bendera itu supaya berkibaran. Tak aku tahu mengapa dia mahu buat begitu ketika itu. Barangkali ada hubungannya dengan pertabalan Agong hari ini. Entah. Kemudian aku  menceritakan pada Naabil tentang itu dan rasaku yang terusik. Apabila aku menoleh, bendera Malaysia telah berkibar dengan posisi yang tepat. Wajah pelayan itu masih terukir senyuman yang tak mampu aku baca dengan sesekali dia menoleh kepada bendera yang digantungnya itu.

Tidak tahu mengapa aku tergerak mencatit ini.
Barangkali senyumnya.
Barangkali kerana nasionalitinya.
Barangkali kerana bendera itu.
Ataupun kerana ketiga-tiganya.

Wednesday, 19 April 2017

Puisi Pendek 2


Semilir dua pagi meresap jauh ke hati
Bersamanya harum bunga cinta yang memekar
Kau temaniku ke kamar dengan lembaian cinta
Aku melangkah detap kakiku ke belakang
Senyum dan lambaian rinduku sampaikan
Walau baru bertatapan menyata sayang
Kasihku
Cinta kita tinggi  merentas kayangan

19 April 2019. 2.09pagi. KK8

Friday, 7 April 2017

Puisi Pendek 1


Pada bayu yang menyentuh damai jiwa,
Pada langit malam yang menghimpun mimpi dan angan-angan,
Ada hati bergantungan cinta.

Sheeraghafar. 7April 2017. 1:44pagi. PV2.